Permulaan PTPM…

Pada 18 hingga 20 Jun 1987 telah diadakan satu konvensyen Teknologi Pendidikan anjuran Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia bertempat di Institut Pengurusan Pendidikan Negara (kini dikenali sebagai Institut Aminuddin Baki). Dalam konvensyen itu, idea telah dikemukakan melalui pembentangan satu kertaskerja oleh Pengarah, Bahagian Pusat Sebaran Pendidikan pada ketika itu iaitu Puan Seri Datin Hafsah Bt. Hj. Nasir. Usul beliau telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada semua peserta konvensyen. Di konvensyen itu salah satu rumusannya ialah supaya ditubuhkan Persatuan Kebangsaan Teknologi Pendidikan. Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa protem atau penaja telah dilantik. Fungsi utama jawatankuasa protem ialah membuat persediaan awal dan meninjau kemungkinan penubuhan PTPM (Laporan Tahunan PTPM, 1994-95).
Jawatankuasa protem ini telah dipengerusikan oleh Profesor Madya Puan Sri Dr. Rohana Zubir. Jawatankuasa ini telah merintis jalan dan mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pelbagai pihak dengan matlamat utama usahanya ialah merealisasikan penubuhan PTPM.